Bebaskan Pesalah Dadah, Lima Pegawai & Anggota Polis Didakwa Di Mahkamah


KOTA KINABALU: Lima pegawai dan anggota polis yang bertindak membebaskan pesalah kes dadah dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.

Kelima-lima tertuduh iaitu Inspektor Joevian Gubal Michael, 41; Lans Koperal Afizul Azwan Anuar, 29; Lans Koperal Hairul Amid, 36; Sarjan Azizul Ismail, 32; dan Koperal Abdullah Bakir, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah bagi membebaskan pesalah kes dadah.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat secara berasingan dihadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Semasa kesalahan dilakukan, kelima-lima tertuduh bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud.

Kesemua mereka didakwa menerima rasuah daripada pesalah kes dadah dikenali sebagai Anizan Misdaranai, 39, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Anizan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Untuk tertuduh pertama, Joevian Gubal didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,400 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik tertuduh antara 16 November 2016 hingga 3 Januari 2017.

Sementara itu, Afizul Azwan didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM470 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun BSN milik tertuduh antara 13 April hingga 17 Mei 2017.

Tertuduh ketiga, Hairul pula didakwa bagi lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Kerjasama Rakyat milik tertuduh antara 11 Ogos 2017 hingga 30 Mei 2018.

Bagi tertuduh keempat, Azizul pula didakwa bagi empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun BSN milik mangsa antara 24 April hingga 30 Julai 2017.

Abdullah didakwa atas 18 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2250 daripada Anizan yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Rakyat milik tertuduh antara 14 April 2014 sehingga 1 Oktober 2015.

Untuk kesemua kesalahan itu, kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Sekysen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kelima-lima tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan bayaran antara RM8,000 hinggga RM10, 000 dengan deposit masing-masing RM4,000 dan RM5,000.

Hakim menetapkan 24 November sebagai tarikh pengurusan kes dan semua tertuduh diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan diminta melapor diri setiap dua bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nurul Izzati Sapifee dan tertuduh diwakili peguam PJ Perira & Dasan.





Source link