Gangguan Bekalan Air di Tanjung Aru Perlu Tindakan Segera – Junz Wong


JUNZ WONG

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong menggesa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru.

ADUN Tanjung Aru ini berkata, kejadian sebegini tidak pernah berlaku semasa zaman Warisan.

Rakyat di Tanjung Aru sudah beberapa minggu berhadapan dengan gangguan bekalan air.

“Setiap hari pasti berlaku gangguan bekalan. Kalau keadaan baik, bekalan air ada namun, tekanan air sangat rendah. Jika keadaan kurang baik, langsung tiada bekalan air.

“Situasi ini tidak pernah berlaku semasa zaman Warisan. Tapi sedang berlaku pada zaman GRS maka, kerajaan perlu lebih bertanggungjawab kerana rakyat berada dalam kesusahan apabila tiada bekalan air untuk diminum mahupun digunakan untuk memasak, mencuci dan juga mandi.

Dalam pada itu, Junz juga menyindir slogan “Sabah Maju Jaya” GRS yang disifatkan sebagai retorik kosong.

“Jika inilah Sabah Maju Jaya yang dibawa oleh GRS, jangan cakap kawasan pedalaman, kawasan bandar berhadapan masalah gangguan bekalan air.

“Sekarang ini pelancong dari Semenanjung dan luar negara belum masuk Sabah. Maka, boleh dikatakan pengguna yang mengguna air rata-ratanya orang tempatan.

“Tapi jika bekalan air untuk orang tempatan pun tidak mencukupi bayangkan apabila pelancong kembali nanti dan Sabah masih berhadapan masalah bekalan air.

“Tidak malukah Sabah diketawakan sebab tidak cukup bekalan air?,” ujarnya.





Source link