Kes keganasan rumah tangga di Selangor terus meningkat


SHAH ALAM: Jumlah kes keganasan rumah tangga di Selangor menunjukkan peningkatan pada tahun ini dengan 1,519 kes dilaporkan bermula Januari hingga Oktober, berbanding hanya 1,349 kes direkodkan tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata pada 2018, sebanyak 951 kes direkodkan dan ia meningkat kepada 1,159 kes pada 2019.

Berikutan peningkatan kes tersebut, katanya kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan menyediakan Talian SELamat, sebagai talian khas untuk masyarakat membuat aduan tentang keganasan rumah tangga yang berlaku khususnya di Selangor.

“Inisiatif ini sudah beroperasi sejak 1 Nov dan sehingga 24 Nov lalu, Talian SELamat menerima 14 panggilan yang mana tujuh daripadanya berkaitan keganasan rumah tangga membabitkan psikologi, fizikal, dan ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati) di Persidangan Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14, hari ini.

Dr Siti Mariah berkata kesemua kes yang diterima adalah bukan kecemasan dan tujuan panggilan adalah untuk mendapatkan khidmat kaunseling bagi membantu mereka dari segi pengurusan emosi.

Beliau berkata Talian SELamat memberikan pilihan kepada pemanggil untuk mendapatkan sesi kaunseling atau intervensi selanjutnya di badan bukan kerajaan, serta kaunselor Talian Sahabat di bawah Pusat Kaunseling Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor yang mempunyai kaunselor bertauliah secara bersemuka atau secara atas talian.

Katanya talian SELamat beroperasi selama 24 jam menerusi talian 03-64195027 di bawah kendalian Wanita Berdaya Selangor (WBS).-Bernama

Source link



Source link